Sunday 25 December 2011

Sejarah Ulu Yam............Lanun Rawang Territory (Kawasan Bersejarah - Part 6)

Ulu Yam mengandungi 2 kampung iaitu Kampung Ulu Yam Lama dan Ulu Yam Baru.

Ulu sering wujud sebagai nama tempat, ulu bermaksud kawasan pendalaman dimana aliran bermula. Walau bagaimanapun kedua-dua Kampung Ulu Yam tidaklah “hulu sangat”.

Ulu Yam Lama bermaksud Kampung lama. Perkataan Yam tidak wujud dalam kamus Melayu, ada yang mengandaikan ianya berasal daripada sebutan Ulu Ayam. Dikatakan Ulu Ayam asalnya bergelar Batu Ayam, sebab pernah ditemui sebuah batu besar yang berbentuk ayam di situ.

Mengikut Hikayat Yap Ah Loy, bala tentera Yap Ah Loy pernah bersinggah di Batu Ayam pada tahun 1872, suatu tempat yang berdekatan dengan Ulu Yam.   

Ulu Yam berkedudukan di kaki gunung Genting Highland, merupakan satu tempat yang indah dengan diliputi gunung dan sungai.

Oleh kerana kaya dengan bahan galian, pendatang Cina telah berpusu-pusu berhijrah ke Ulu Yam menjelang satu setengah abad yang lalu. Ini berbeza sekali dengan keadaan hari ini yang menjadi tumpuan pelancong.

Dalam sejarah, Ulu Yam turut terjebak dalam perang saudara selangor.

Yap Ah Loy yang merupakan sekutu Tengku Kudin pada zaman kemuncak pengeluaran bijih timah, Ulu Yam merupakan salah satu daripada 3 lombong bijih timah dibawah kekuasaan mereka selain Kuala Kubu Baru dan Rasa.
Peperangan tersebut membuktikan Ulu Yam telah diterokai pada pertengahan kurun ke-19, selepas penerokaan Kuala Lumpur pada tahun 1857.

Mengikut catatan sejarah, sekumpulan pendatang Cina keturunan Hakka di Ulu Yam juga menyertai kerja perlombongan bijih timah di Sungai Kinta, Perak pada akhir kurun ke-19. Perlombongan menggunakan kapal korek pada kurun ke-20 membuktikan Ulu Yam amat kaya danga hasil bijih timah.
Namun penanaman getah mula mengambilalih menjelang tahun 1920.
Stesyen keretapi Ulu Yam beperanan sebagai sistem pengangkutan utama pada ketika itu. Hari ini, Kampung Baru Ulu Yam Lama telah bertukar nama kepada Kampung Stesyen bagi mengingati kenangan silam sejarah kampung itu.

Walaupun namanya telah ditukar secara rasmi, namun orang Cina telah biasa dengan sebutan lamanya sebagai Kampung Baru Ulu Yam Lama.

Pada tahun 1950, penjajah British telah mengumpulkan pendatang-pendatang Cina di sebelah utara pekan Ulu Yam dan menubuhkan Kampung Baru Ulu Yam Lama. 

Kampung Baru itu berkembang maju dan pesat pada peringkat awal penubuhannya. Jumlah penduduknya pernah mencapai sehingga 4000 orang pada satu ketika.

Kejatuhan harga bijih timah dan kehabisan hasil bumi tersebut membawa kepada kemunduran Kampung Baru Ulu Yam. 

Ini telah mengubah segala-galanya, apa yang tinggal pada hari ini ialah makanan “Lor Mee Ulu Yam” yang menjadikannya simbolik orang luar kepada Ulu Yam.

“Lor Mee” merupakan mee yang dimasak hampir segenap lapisan masyarakat Cina Ulu Yam pada hari ini. Sehinggakan ianya menjadi menu tarikan utama dalam mana-mana restoran di Ulu Yam. Walau bagaimanapun, masakan Lor Mee Restoran Hock Choon menjadi pilihan utama jika ingin merasa masakan asli Lor Mee.

Masakan Lor Mee telah menempah nama dan dikenali setaraf dengan Kueh Teow Penang dan Bakuteh Kelang di seluruh negara.

Jika dahulu laluan lebuhraya persekutuan dari Kuala Lumpur ke utara mesti melalui Ulu Yam Lama barulah ke Ulu Yam Baru, kini ia adalah sebaliknya. Akibatnya, pengunjung yang datang untuk merasa Lor Mee semakin kurang.
Sindrom penghijrahan penduduk kampung ke bandar merupakan sebab utama penurunan bilangan penduduk Kampung Baru Ulu Yam Lama. Ia mempunyai 450 keluarga tetapi jumlah penduduk hanya sebanyak 1300 orang pada hari ini. Ulu Yam menanti rahmat tuhan untuk bangkit semula dan mencipta zaman kegemilangan yang baru.



Panduan Ke Ulu Yam Lama:
1.Dari arah Kuala Lumpur melalui Rawang dengan jarak 50km.
2.Dari arah Kuala Lumpur melalui Batu Caves dengan jarak 38 km. 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...