Sunday 25 December 2011

Sejarah Kuang............Lanun Rawang Territory (Kawasan Bersejarah - Part 8)


Nama Kuang berasal dari sejenis burung bernama burung kuang.

Burung kuang adalah ayam hutan. Antara jenis yang paling terkenal ialah burung kuang raya atau Great Argus dalam bahasa Inggeris. Saiz burung tersebut amat besar.

Burung kuang cermin merupakan satu lagi jenis burung kuang yang berekor panjang seperti burung kuang raya. Kedua-duanya telah dimasukkan dalam stem Malaysia dalam siri burung. Sementara itu, terdapat sebuah taman burung kuang berekor panjang di negeri Terengganu.

Dijangkakan burung kuang telah muncul dengan banyaknya di Kuang pada satu ketika dulu sehinggakan tempat ini dinamakan sebagai Kuang. Sebenarnya tempat bernamakan Kuang amat lumrah di Semenanjung Malaysia. Antaranya termasuk Kuala Kuang di Chemor, Perak, serta Jalan Burung Kuang, Taman Maluri di Kuala Lumpur.

Kuang juga merupakan sejenis serangga. Nama Kuang bermula dengan katak. Ini disebabkan teriakan katak berbunyi “kuang”.

Mengikut sejarah, Kuang telah wujud sejak awal abad ke-19.
Kedudukan tanah yang rata menjadikan Kuang salah satu kawasan penanaman padi yang utama di Selangor pada satu ketika. Pada tahun 1907, laporan tahunan Agricultural Bulletin Of The Straits and Federated Malays States, turut melaporkan lawatan pegawai British ke kawasan tanaman padi Kuang.

Dalam laporan itu, Henry Nicholas yang merupakan pakar tumbuhan British telah berulangkali melaporkan serangan serangga perosak ke atas tanaman padi di Kuang.

Oleh yang demikian, beliau telah menggalakkan penanaman pokok getah untuk tujuan komersial. Orang Melayu di Kuang dikatakan rasa ragu-ragu dengan seruan itu. Mereka berpendapat tanaman padi dan kelapa tidak bermasalah, sedangkan masa depan penanaman pokok getah masih menjadi tanda tanya.

Namun begitu, Kuang masih diseliputi dengan rimbunan ladang getah pada akhirnya.

Perlombongan bijih timah pernah menjadi salah satu aktiviti komersial yang utama di Kuang pada satu ketika dahulu. Jaringan kawasan yang kaya dengan hasil bijih timah pada ketika itu merangkumi Kuala Lumpur dan laluan utama sepanjang Kuala Lumpur menghala ke utara sehingga Tanjung Malim. Kuang yang terletak dalam Rawang juga tidak terkecuali.

Kapitan dari Kuala Lumpur telah memonopoli sumber bijih timah di Kuang pada ketika itu. Jumlah penghasilan bijih timah di Kuang agak kurang jika dibandingkan dengan Rawang, Kundang dan Serendah.

Sebenarnya penerokaan Kuang hanya berlaku selepas penjajah British mewujudkan perkhidmatan keretapi di situ.

Laluan keretapi menghubungkan Kuang dengan Batu Arang telah dibina pada tahun 1915. Laluan perkhidmatan itu dilanjutkan lagi sehingga ke Batang Berjuntai menjelang tahun 1918.

Oleh itu, Kuang telah menjadi satu kawasan persinggahan untuk pengangkutan hasil bijih timah dari Batang Berjuntai dan hasil batu arang dari Batu Arang yang amat sibuk. 

Pada masa itu, permintaan terhadap batu arang di Britain amat tinggi.  Tanah Melayu yang sedang giat memperkembangkan sektor perindustrian juga memerlukan batu arang dalam jumlah yang banyak. Kawasan Batu Arang merupakan  antara beberapa pusat pengeluaran batu arang utama di Tanah Melayu pada ketika itu. Oleh yang demikian, Peranan Kuang sebagai pusat pengangkutan batu arang memang tidak dapat dinafikan.

Zaman kegemilangan Batu Arang antara tahun 1920-an hingga sebelum Perang Dunia Kedua juga merupakan zaman keemasan bagi Kuang. Sebagai pusat peralihan batu arang dari kawasan Batu Arang, Kuang telah menjadi satu pusat perniagaan yang amat sibuk.

Pada masa yang sama, kenaikan sektor penanaman getah menyemarak lagi pembangunan Kuang.

Kegiatan PKM amat aktif di Kuang sebelum dan selepas Perang Dunia Kedua. Menjelang tahun 1949, penjajah British telah mengumpulkan penduduk yang tinggal di sekitar Kuang dan menubuhkan Kampung Baru Kuang.

Mengikut catatan, keluasan Kampung Baru Kuang hanya 15 ekar dengan didiami 40 keluarga yang berjumlah 400 penduduk semasa ia ditubuhkan.Ia merupakan kampung kedua terkecil di Selangor selepas kampung Salak.

Pada tahun 1954, penduduk Kuang berkurang menjadi 341 orang dari 400 orang semasa ditubuhkan. Jumlahnya telah meningkat kepada 1486 pada tahun 1970. Walaubagaimanapun, angka itu jatuh kepada 1314 pada tahun 1980 dan merudum lagi menjadi 1300 menjelang tahun 1995. Perubahan jumlah penduduk pada hari ini tidaklah begitu ketara .

Dikatakan bunyi tembak-menembak antara tentera British dan PKM sering kedengaran semasa kampung itu ditubuhkan.

Satu peristiwa kesilapan mengebom ke atas satu stesyen menimbang susu getah telah mengorbankan 10 pekerja ladang getah yang tidak berdosa semasa tentera British cuba memusnahkan markas PKM dalam hutan.

Dikatakan pekerja-pekerja tersebut sedang sibuk mengumpul dan menimbang susu getah semasa bom jatuh dari langit. Tentera British kemudian telah membuat bayaran pampasan beberapa ratus ringgit kepada mangsa-mangsa keluarga setelah menyedari kesilapan tersebut.

Perjumpaan hasil batu arang telah membawa kegemilangan kepada Kuang. Kehabisan hasil batu arang pada tahun 1960-an telah juga menjadi punca kejatuhan Kuang. Perkhidmatan keretapi dihentikan pada tahun 1971 dan  landasannya ditanggalkan. Pada masa itu, Kuang dilanda kemelesetan, ramai penduduk telah berhijrah ke tempat lain untuk mencari makan.

Kuang telah mengalami zaman kemalapan selama 25 tahun. Sehingga tahun 1995, pembangunan Kuang sekali lagi mendapat nafas baru setelah perkhidmatan keretapi Komuter dilanjutkan ke situ. Terutamanya pembangunan pesat Rawang turut memberi manfaat kepada Kuang dari segi pembangunan kawasan penempatan baru dan komersial.

Kini Kuang hampir berwajah baru. Kebanyakan rumah kampung yang dulunya berpapan telah ditukar dengan rumah berkonkrit. Penduduk turut beralih kepada sektor perniagaan dan perindustrian.

Sehingga hari ini, warga tua Kuang masih merindui zaman keemasan yang telah berlalu.

 
Panduan ke Kuang:
1.Dari arah Kuala Lumpur dengan jarak 32km.
2.Dari arah Rawang dengan jarak 7km.

2 comments:

  1. Rumah murah batu 20 Kuang. Di sinilah tempat saya membesar.

    ReplyDelete
  2. artikel yang menarik. Jika dapat membuat kajian mengenai asal usul kampung gombak kuang dan kaitan dengan penubuhan awal kuang mesti lagi best..

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...