Sunday, 25 December 2011

Sejarah Batang Berjuntai............Lanun Rawang Territory (Kawasan Bersejarah - Part 9)


Nama Batang Berjuntai dalam bahasa Cina tidak membawa apa-apa maksud yang tidak kena, namun maksudnya dalam Bahasa Malaysia tidak senonoh.

Batang bermaksud batang kayu, berjuntai bermaksud benda yang sedang bergoyang. Cantumannya membawa maksud “batang yang sedang bergoyang”.

Dipercayai nama kampung berasal daripada sebuah pokok yang hampir tumbang dan sedang berjuntai. Dikatakan pokok tersebut akhirnya tertumbang setelah lama berjuntai.

Buku Places Names In Penisular Malaysia menyatakan bahawa pokok tersebut sentiasa bergoyang sekalipun tanpa tiupan angin.

Orang Melayu yang paling awal bertapak di Batang Berjuntai dikatakan tinggal berdekatan dengan pokok tersebut. Akhirnya mereka pun menamakan tempat ini sebagai Batang Berjuntai.

Walaupun andaian di atas hanyalah legenda, namun ia sentiasa disebut-sebut dalam masyarakat setempat.

Menjelang tahun 2007, Kerajaan negeri Selangor telah menukarkan nama Batang Berjuntai kepada Bestari Jaya setelah menimbangkan bahawa maksud asalnya tidak senonoh.

Batang Berjuntai merupakan sebuah kampung terpencil di pantai barat Semenanjung Malaysia. Namun begitu, tempat ini merupakan kawasan perlombongan bijih timah dan pertanian yang penting 100 tahun yang lalu.

Agricultural Bulletin Of The Straits And Federated Malay States 1910 mencatatkan bahawa satu jalanraya utama melalui Batang Berjuntai telah dicadangkan pada ketika itu.

History Of Railways In Selangor turut merekodkan bahawa laluan antara Kuang ke Batu Arang telah dilancarkan pada tahun 1915. Laluan antara Batu Arang ke Batang Berjuntai pula telah dilancarkan pada tahun 1918.

Ini jelas terbukti nama Batang Berjuntai telahpun masyhur sedekad yang lalu.

Rujukan sumber menunjukkan bahawa Batang Berjuntai bersama dengan Lembah Kelang dan Lembah Kinta dikategorikan sebagai tempat-tempat yang amat kaya dengan hasil bijih timah.

Kawasan-kawasan lombong di Batang Berjuntai mempunyai 13 buah kapal korek pada zaman kemuncak penghasilan bijih timah. Ia pernah menjadi kawasan pengeluaran bijih timah terbesar di Semenanjung Malaysia selepas Malaysia mencapai kemerdekaan.

Pada mulanya, sektor perlombongan bijih timah diterokai oleh pendatang Cina yang membawa kepada pembentukan Pekan Batang Berjuntai pada awal kurun ke-20.

Namun sektor perlombongan mula dikuasai orang British dengan pengunaan teknologi canggih. Pengenalan kapal korek oleh orang British memberi kelebihan berbanding dengan kaedah lama orang Cina. 

Batang Berjuntai juga pernah melalui zaman kegemilangan dalam sektor pertanian satu ketika dahulu. Orang Perancis iaitu Henri Fauconnier telahpun menerokai sektor tersebut di Rantau Panjang menjelang tahun 1906.

Rantau Panjang terletak kira-kira 2 kilometer dari Batang Berjuntai. Henri memulakan penanaman getah dan diikuti dengan kelapa sawit di situ.

Henri merupakan orang pertama yang mempelopori penanaman kelapa sawit secara besar-besaran. Namun kejituan penghitungan beliau tidak dapat dibernaskan secara maksima kerana potensi kelapa sawit belum lagi diungkit pada zaman itu.

Penanaman kelapa sawit mula menjadi popular menjelang tahun 1980-an. Walaupun begitu ia telahpun lewat 70 tahun berbanding dengan Henri.

Henri merupakan orang Perancis yang agak pelik. Beliau boleh bertutur dalam bahasa Tamil selain bahasa Melayu. Nama ladang kelapa sawit beliau ialah Tennamaram dan banglo yang beliau dirikan dalam ladangnya digelar sebagai Maison des Palm.

Henri banyak menghabiskan masa dengan menulis cerpen pada akhir hayatnya. Karyaan buku beliau yang mengumpulkan pengalamannya di Tanah Melayu iaitu The Soul Of Malaya jika diterjemah dalam bahasa Inggeris telah membantu beliau memenangi hadiah sasterawan di Perancis.

Pada masa yang sama, orang British juga menggalakkan penanaman getah. Penanaman getah di Batang Berjuntai diterajui oleh orang British. Selain itu, pendatang Cina juga diagihkan 2 hingga 3 ekar untuk tujuan yang sama.

Perang Pasifik telah meletus menjelang tahun 1941. Pada tahun 1942, askar Jepun Rejimen Watanabe telah menyerang di sebelah utara Sungai Selangor.

Tentera British menerima kekalahan dan berundur ke Batang Berjuntai. Pada 6hb Januari 1942, tentera British telah meletupkan jambatan Sungai Selangor untuk meyekat kemaraan tentera Jepun.

Api peperangan telah menyebabkan segala urusan perniagaan di Batang Berjuntai terbantut. Tentera Jepun turut menanggalkan landasan keretapi di Batang Berjuntai.

Buku Emergancy Years: Malaya 1951-1954 karyaan Leonard Rayner menyatakan bahawa landasan keretapi yang dibuka di Batang Berjuntai telah dihantar ke Thailand untuk membina landasan keretapi maut Thailand-Burma.

Setelah tamat perang, penjajah British tidak bercadang untuk membina semula landasan keretapi di Batang Berjuntai. Maka dengan itu, terkuburlah sejarah stesyen keretapi di Batang Berjuntai.

Tamat perang dunia, bermula pula persengketaan dalaman. Pada tahun 1948, penjajah British telah mengisytiharkan Perintah Darurat. Menjelang tahun 1956, pendatang Cina yang tinggal berselerak sekitar Batang Berjuntai telah dipindahkan ke belakang Pekan Batang Berjuntai dan menubuhkan Kampung Baru Batang Berjuntai.

Jumlah penduduknya ialah seramai 2000 orang semasa ia ditubuhkan. Angka itu melonjak kepada 2609 menjelang tahun 1970. Bilangan penduduk jatuh kepada 2093 pada tahun 1980. Batang Berjuntai mempunyai jumlah penduduk yang paling tinggi pada tahun 1995 iaitu seramai 5000 orang.

Selepas itu, ramai penduduk telah berpindah keluar dari kampung dan menetap di kawasan taman perumahan. Anggaran jumlah penduduk pada hari ini ialah lebih kurang 1500 hingga 1800 orang.

Kebanyakan penduduk di Batang Berjuntai berketurunan Hokkien, dari Wilayah Yong Choon dan Anxi. Terdapat segelintir daripadanya ialah orang Hakka dan Guangdong.

Kekayaan hasil bijih timah di Batang Berjuntai menjadikannya terus gemilang setelah tamat perang. Permintaan tenaga kerja yang tinggi turut mewujudkan banyak peluang pekerjaan di Batang Berjuntai. Ini secara langsung telah memberangsangkan pembangunan ekonomi di Batang Berjuntai.

Diantaranya, syarikat Berjuntai Tin memiliki 9 buah kapal korek dalam usaha melombong bijih timah. Sementara itu, Pacific Tin memiliki 2 buah kapal korek.

Tapak Universiti Industri Selangor merupakan bekas tapak perlombongan kapal korek pada masa dahulu.

Kegemilangan sektor perlombongan bijih timah di Batang Berjuntai telah menjadi sejarah setelah kapal korek yang terakhir menamatkan operasinya pada tahun 1994.

Pada hari ini, lombong-lombong yang terbiar di Batang Berjuntai telah menjadi tempat pembiakan ikan patin. Ini telah menarik ramai pemancing ikan.

Jalan Besar merupakan tempat yang paling meriah di Batang Berjuntai dan terdapat sederet kedai lama yang merupakan pekan lama Kampung Baru Batang Berjuntai.

Baru-baru ini, sektor penternakan burung layang mula mendapat perhatian di Batang Berjuntai. Kebanyankan premis penternakan burung layang diusahakan orang tempatan dengan jumlah 70 buah premis dan merupakan tempat penternakan burung layang yang terbesar di Selangor selain kawasan tepi laut.

Pada waktu senja, ribuan burung layang-layang yang berterbangan di langit biru Batang Berjuntai mewujudkan gambaran dan suasana yang amat istimewa.

Panduan ke Batang Berjuntai:
1.Dari arah Kuala Lumpur dengan jarak 60km.
2.Dari arah Kelang dengan jarak 45km.
3.Dari arah Kuala Selangor dengan jarak 20km.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...