Sunday 25 December 2011

Sejarah Batang Kali............Lanun Rawang Territory (Kawasan Bersejarah - Part 3)

Nama Batang Kali diambil sempena Sungai Batang Kali. Ada orang mengatakan kalau ikutkan tafsiran bahasa Melayu, batang bermaksud batang kayu, kali pula bermaksud anak sungai, jadi maksudnya ialah batang kayu anak sungai. Ada juga yang menyatakan kali bermaksud lipat ganda, jadi Batang Kali bermaksud banyak batang kayu.

Perkataan Batang dan Kali banyak digunakan dalam nama tempat. Misalnya Batang Berjuntai di Selangor, dan Ulu Kali yang berdekatan Genting Highland. Batang Kali ialah sebuah pekan kecil yang terletak di utara negeri Selangor. Ia merupakan sebuah tempat yang kaya dengan hasil bijih timah pada ratusan tahun dahulu.

Kampung Batang Kali terwujud setelah bijih timah dijumpi pada kurun ke-19. Mengikut rekod The Tin Resources of the British Empire, Batang Kali, kalumpang, Serendah, Rawang dan Kuala Kubu Baru telah digolongkan sebagai kawasan yang kaya dengan hasil bijih timah di sebelah utara Selangor  sejak awal kurun ke-20.

Kepesatan penanaman getah dan perlombongan bijih timah pada awal kurun ke-20 telah memakmurkan Batang Kali. Kemakmuran dan ketenteraman tersebut dinikmati sehinggalah Perang Dunia Kedua meletus.
 
Pada tahun 1941, perang Pasifik meletus, Ulu Selangor yang merupakan gerbang masuk Kuala Lumpur telah menjadi markas British bertahan yang akhirnya tewas selepas pertempuran sengit. Kolonel Spencer Chapman dalam bukunya The Jungle is Neutral merekodkan bahawa beliau bersama sepasukan tentera yang tidak sempat berundur telah terkandas dalam hutan sekitar Ulu Selangor. Beliau kemudian telah bekerjasama dengan MPAJA untuk menentang penjajahan Jepun. Selepas Perang Dunia Kedua, Batang Kali yang tidak sempat mengambil nafas baru sekali lagi terjerumus dalam keadaan huru-hara, ianya menjadi kawasan hitam dimana PKM berakif.

Pada 12hb Disember 1948, sepasukan tentera pimpinan Scots Guards didakwa telah membunuh seramai 24 penoreh getah di Estet Sungai Rimoh. Sungai Rimoh terletak 5km dari Batang Kali, iaitu 2km ke depan persimpangan jalan Batang Kali ke Genting Highland.

Satu-satunya yang terselamat disebabkan beliau telah pengsan ketika ditembak. Ia merupakan peristiwa berdarah paling dashyat  zaman darurat, yang tidak dapat dilupakan oleh  penduduk Batang kali sekian lama.

Penjajah British telah memaparkan dalam  suratkhabar dengan tajuk “Kejayaan Besar Menumpaskan Pengganas” untuk menjelaskan pergerakan tersebut. Tetapi hakikat sebenarnya ialah mereka yang dibunuh hanyalah penoreh getah yang tidak bersenjata dan bukannya ahli-ahli PKM.

Akhbar The People Britain telah mendedahkan skandal tersebut pada tahun 1970 yang berjudul Pembunuhan Beramai-ramai Batang Kali.

Hasilnya, Britain telah menghantar agen khas ke Malaysia untuk menyiasat kes tersebut pada tahun yang sama. Namun begitu, Parti Buruh pimpinan Wilson telah kalah dalam pilihanraya Umum Britain pada Jun tahun 1970. Perlantikan Pendakwaraya Negara baru dari Parti Konservatif telah menghentikan siasatan tersebut.

Stesyen televisyen BBC Britain telah merencanakan peristiwa tersebut pada tahun 1992.

Rancangan dokumentasi tersebut berjudul In Cold Blood. Tiga tentera yang terlibat dalam peristiwa itu bersama krew televisyen telah kembali ke tempat kejadian. Mereka telah menziarah saksi-saksi kejadian dan keluarga mangsa-mangsa yang terkorban.

Jawatankuasa Tuntutan Gantirugi dan Siasatan telah ditubuhkan oleh keluarga-keluarga mangsa baru-baru ini. Namun kerajaan Britain masih belum mengembalikan keadilan kepada mereka yang terkorban.

Buku Slaughter And Deception At Batang Kali hasil karya Ian Ward telah melaporkan dengan jelas peristiwa berdarah tersebut.

Menjelang tahun 1950, iaitu 2 tahun selepas peristiwa berdarah itu, penjajah British telah mengumpulkan penduduk yang berselerak sekitar Batang kali termasuk “Seratus Ekar” dan menubuhkan Kampung Baru Batang Kali.

“Seratus Ekar” ialah sebuah tempat berkeluasan 100 ekar yang terletak 1.5km di utara Batang Kali atau 4km ke selatan dari Rasa. Ia merupakan sebuah tempat dimana peladang diberikan 2 hingga 3 ekar untuk menanam getah oleh penjajah British.

Kampung Baru Batang kali dibina membelakangkan gunung. Dengan keluasan 10 ekar, ia memuatkan 160 keluarga yang mempunyai ahli seramai 400 orang.

Sejak itu, mereka saling bergantung dan bekerjasama untuk menyara hidup.

Untuk menghalang penduduk memberikan bantuan kepada PKM, penjajah British telah memagar sempadan Kampung Baru dengan dawai besi serta larangan keluar pada waktu malam. Ketiadaan bekalan lektrik dan air memburukkan lagi mutu kehidupan harian penduduk.

Walaupun cara hidup telah berubah, namun aktiviti asal masih dikekalkan. Penduduk masih menjalankan kerja melombong dan menoreh getah dengan sebilangan kecil terlibat dalam aktiviti bercucuk tanam dan membalak.

Keadaan huru-hara yang berpanjangan telah mengakibatkan kemerosotan berbagai bidang. Penghasilan bijih timah  turut merosot.  Ini sedikit sebanyak berkaitan dengan aktiviti PKM.

Pada tahun 1960-an, Lim Goh Tong telah membeli 12,000 ekar tanah hutan di Batang Kali dengan harga 600 ribu ringgit dengan niat untuk meneroka dan membangunkan Genting Highland.

Lim Goh Tong mensasarkan Gunung Ulu Kali berketinggian 1800 meter dari paras laut untuk mendirikan sebuah tempat peranginan. Pada peringkat awal pembangunan Genting Highland, ia tidak mendatangkan sebarang kesan kepada Batang Kali. 

Sehinggalah pada tahun 1990, laluan baru ke Genting mula beroperasi telah memberikan peluang pembangunan kepada Batang kali.

Laluan sepanjang 17km tersebut telah memendekkan jarak ke Genting Highland. Batang kali yang terletak di kaki gunung Ulu Kali menjadi tempat transaksi ke Genting. Ini turut membangunkan sektor pelancungan dan pemakanan.

Pembukaan laluan baru ke Genting turut memberangsangkan sektor hartanah. Bandar Baru Batang Kali merupakan salah satu simbol kepesatan pembangunannya.

Di sebalik potensi pembangunan, satu keadaan pelik berlaku dimana penduduk Kampung Baru Batang Kali semakin kurang. 

Pada awal penubuhan Kampung Baru, ia mempunyai 600 penduduk, dan bertambah kepada 1029 pada tahun 1954, jatuh kepada 631 pada tahun 1970, naik kepada 1055 orang pada tahun 1980 dan bertambah secara lumrah kepada 1925 pada tahun 1995.

Berikutan penghijrahan generasi muda ke Bandar Baru Batang Kali, serta sekitar Rawang, Kuala Kubu Baru dan Kuala Lumpur, Kampung Baru Batang Kali hanya mempunyai 140 keluarga pada hari ini.

Nama Kampung Baru Batang Kali kini ditukar kepada Kg Bukit Chandang, namun masyarakat Cina masih mengamalkan sebutan lama. Ianya merupakan “Kampung Hokkien” dimana kebanyakan penduduknya adalah keturunan Hokkien.

Kebanyakan penduduk masih menjadi penoreh getah, 80% daripada “100 Ekar” masih kekal dengan penanaman getah.


Panduan ke Baru Batang Kali:
1.Dari arah Kuala Lumpur melalui Rawang dengan jarak 56km.
2.Dari arah Kuala Lumpur melalui Batu Caves dengan jarak 38km.
3.Dari arah Genting Highland dengan jarak 30km.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...