Pekan Warisan Batu Arang, Rawang bakal menjadi satu lagi pusat pelancongan untuk negeri Selangor tidak lama lagi.
Pernah dikenali sebagai Bukit Emas Mini, namun kini Batu Arang dilihat sebagai satu kawasan terpinggir disebalik pembangunan pesat di Selangor namun hakikatnya menyimpan pelbagai sejarah lampau yang tidak diketahui umum. Arang Batu di Batu Arang, Selangor mempunyai nilai komersil yang tinggi untuk diusahakan selain di Enggor, Perak. Suatu ketika dahulu terdapat kerja-kerja perlombongan yang terpaksa dilakukan sehingga tiga shif tanpa henti oleh 5,000 orang pekerja.
Perkembangan Pekan Warisan ini banyak bergantung kepada inisiatif Syarikat Malayan Collieries Ltd yang ditubuhkan pada Jun 1913 oleh John Archibald Russel.
Mengikut sejarah, pada tahun 1908, Haji Abdul Hadi dari Rantau Panjang Batang Berjuntai merupakan orang pertama yang menemui arang batu di sini. Pada tahun 1910, Sekretariat Persekutuan telah mengarahkan J.B Searveno membuat kaji selidik mengenai penemuan ini.
Selama hampir 47 tahun beroperasi, pengeluaran arang batu oleh Malayan Collieries Ltd dari tahun 1915 hingga 1960 berjumlah 15,566,143 tan metrik dengan keuntungan bernilai RM 163,345,181.
Pada tahun 1936, satu pertubuhan pekerja yang digelar sebagai ‘Soviet’ telah ditubuhkan untuk menuntut dan menjaga hak-hak pekerja lombong arang batu.
Cuti am hari pekerja yang jatuh pada 1 Mei setiap tahun mula diperkenalkan pada tahun 1950 untuk pekerja lombong arang batu manakala pelaksanaan di negara ini bermula pada tahun 1972.
Namun mogok buruh pertama yang berlaku di Batu Arang pada tahun 1935 atas pengaruh Marxist Lenis. J.A Russel meninggal pada tahun 1933 ketika berusia 50 tahun. Pada tahun 1960, lombong arang ini tidak lagi beroperasi kerana arang batu mula berkurangan dan tidak lagi ekonomik untuk dihasilkan.
Mengikut sejarah penduduk setempat, nama ‘Batu Arang’ diambil bersempena mineral hasil bumi yakni Arang Batu.
Bagi Ahli Jawatan Kuasa Kemajuan Kampung Batu Arang, Nor Arzmy Abd Aziz, 45 menyatakan, Jawatankuasa Batu Arang melalui Setiausaha JKK, Rafi Yeop dan semua ahli mula mencadangkan pembangunan semula warisan sejarah ini pada tahun 2009 kepada kerajaan negeri sejak pengambilalihan pemerintahan Selangor di bawah Pakatan Rakyat.
“Saya melihat tidak mustahil Batu Arang dapat dibangunkan sebagai satu tempat pelancongan dan pendidikan kepada pelajar. Terdapat pelbagai kemudahan yang sedia ada di sekitar kawasan ini seperti Lebuhraya Kuala Lumpur – Kuala Selangor (LATAR). Cuma penambahbaikkan tempat-tempat bersejarah sahaja perlu diberikan penekanan,” katanya.
Jelas beliau lagi, pembangunan kawasan ini sekaligus dapat mengisi masa golongan muda di sini dengan aktiviti riadah yang bermanfaat ditambah banyak pembangunan elit telah berlangsung rancak seperti di Kota Puteri.
Beliau juga menolak kemungkinan kawasan ini akan kembali menjadi pusat galian arang batu seperti dahulu memandangkan terdapat banyak perkara yang mungkin boleh mengakibatkan struktur bangunan asal akan terjejas.
Di sini juga pernah menempatkan Jabatan Penerbangan sebagai isyarat awal trafik sebelum kapal terbang mendarat di Subang. Selain itu terdapat balai polis, pengangkutan kereta api yang dikendalikan oleh masyarakat Gurkha.
Menurut Shanmuga Nathan, 35, kawasan ini memiliki potensi tinggi untuk dibangunkan sebagai suatu pusat pelancongan yang mampu menarik kunjungan pelancong.
Kawasan ini memiliki lebih 10 terowong bawah tanah dan tempat saluran udara (Air Shaft) yang membekalkan udara kepada pekerja dalam terowong dengan kedalaman 1,000 kaki bawah tanah. Setakat ini 6 buah terowong sudah dikenalpasti.
“Selepas penutupan lombong arang batu, saya tidak melihat sebarang bentuk pembangunan yang dibuat di sini. Saya berharap selepas ini akan ada peluang-peluang pembangunan untuk kita majukan kawasan ini,” katanya.
Bagi ganerasi ketiga di Batu Arang, Shanmugam Mariapan, 50 berkata, beliau masih teringat ketika kecil beliau bermain di kawasan perlombongan arang batu yang menggunakan kereta api sebagai kenderaan pengangkutan utama.
“Dahulu ada kereta api yang menggunakan arang. Saya dan rakan-rakan bermain di belakangnya. Dulu kawasan ini sangat cantik, banyak pokok-pokok dan rumah banglo. Masa itu, masyarakat Melayu yang tinggal di sini sangat sedikit. Tapi selepas British pergi, kawasan ini tidak dijaga. Rumah banyak dipecahkan,” katanya.
Panduan ke Batu Arang:
1.Dari Kuala Lumpur dengan jarak 47km.
2.Dari arah Rawang dengan jarak 20km.
Salam tuan saya ada muat naik video di laman youtube berkenaan tempat ni dengan content eksplorasi yg merujuk sedikit info di laman web ini,boleh lihat di
ReplyDeletelink kepada video eksplorasi: https://www.youtube.com/watch?v=lyvO4-EIFi4