Sunday 25 December 2011

Sejarah Ijok............Lanun Rawang Territory (Kawasan Bersejarah - Part 10)

Nama Ijok bukan berasal daripada pokok Ijok.

Walaupun ramai yang berpendapat bahawa nama Ijok hanya wujud selepas kewujudan pokok ijok. Namun pokok ijok sebenarnya tidak wujud sama sekali. Ia hanyalah rekaan semata-mata.

Oleh itu, dari manakah datangnya nama Ijok ? Mengikut kata-kata warga tua tempatan, Ijok sebenarnya berasal dari perkataan Jawa iaitu Hijau. 

Sebutannya telah berubah secara beransur-ansur hingga menjadi Ijok akhirnya. 

Tempat yang bernama Ijok banyak terdapat di Malaysia dan Indonesia. Yang pastinya ialah tempat-tempat tersebut mesti mempunyai orang Jawa. 

Sebenarnya penerokaan Ijok berkaitrapat dengan orang Jawa. Mengikut catatan sejarah, orang Jawa dari Indonesia telah berhijrah ke situ sejak tahun 1900-an lagi. Mereka telah membuka ladang sawah padi yang luas terbentang di Ijok.

Sawah padi yang menghijau lagi luas terbentang, itulah sebabnya  orang Jawa  memanggil tempat ini sebagai Hijau. Kebanyakan orang Melayu di Ijok pada hari ini adalah dari keturunan Jawa.

Sebutan Ijok dalam bahasa Cina jelas sekali dipengaruhi oleh dialek orang Cina berketurunan Hokkien.

Orang Cina turut menggelar tempat ini sebagai Batu 30 disebabkan jaraknya dari Kuala Lumpur melalui Jalan Kepong ialah 30 batu. Tapak perkuburan Cina Ijok yang terletak 2 batu sebelum Ijok turut disebut Batu 28.

Pada awal kurun ke-20, penjajah British telah membuka ladang-ladang getah secara besar-besaran di Ijok. Oleh itu, ramai kuli-kuli dari China dan India telah dibawa masuk. Pada masa itu, terdapat juga orang Cina yang berhijrah ke situ untuk menjalankan aktiviti bercucuk tanam dan berniaga.

Dipercayai terdapat juga sebahagian pendatang Cina yang bekerja di lombong-lombong bijih timah di Batang Berjuntai yang akhirnya telah berpindah semula ke Ijok.

Salah satu estet getah yang paling besar di Ijok ialah Bukit Ijok Rubber. Ladang itu dimiliki oleh orang British. Keluasannya ialah 1495 ekar. Ianya bertambah menjadi 1575 ekar menjelang tahun 1912. 

Akhbar The Strait Times pada 12hb Ogos 1913 melaporkan: Sehingga tahun 1912, Estet itu telah mengupah seramai 499 pekerja. Di antaranya, 294 orang daripadanya merupakan lelaki dewasa, 159 orang daripadanya terdiri dari perempuan dewasa, manakala 46 orang lagi ialah kanak-kanak.

Paparan itu menjelaskan pemberian gaji dan pengagihan kerja kepada kaum  lelaki dan perempuan telahpun setaraf sejak zaman itu lagi.

Namun begitu, keadaan persekitaran estet yang teruk telah menyebabkan ramai pekerja dijangkiti penyakit. Akhbar The Strait Times pernah melaporkan bahawa seramai 65 pekerja telah mati pada tahun 1911 dan 35 lagi mati pada tahun 1912. Kebanyakan daripada mereka merupakan kanak-kanak. 

Keadaan itu telah diperbaiki menjelang tahun 1913. Namun begitu, masih terdapat 22 lagi penoreh getah yang mati akibat jangkitan penyakit. 

Karya buku Health and Illness in Colonial Malaya 1870-1940 oleh Lenore Manderson telah memaparkan satu gambar keadaan asrama pekerja ladang getah di Ijok. 

Penjelasan bagi gambar itu ialah: Asrama kuli ladang getah dibina di atas lereng bukit dan berdekatan dengan sungai. Keadaan persekitaran tempat mereka amat teruk sekali dengan pelbagai bau yang tidak menyenangkan.

Walaupun laporan itu tidak menyentuh tentang penyakit berjangkit, namun golongan tua percaya ianya disebabkan oleh penyakit malaria. Gambaran tersebut turut menjelaskan penerokaan Ijok memang disarat dengan pelbagai pengalaman pahit dan peristiwa yang memilukan. 

Keadaan persekitaran hidup yang teruk tidak menghalang penghijrahan masuk pendatang Cina ke situ. Pertambahan penduduk telah membawa kepada pembentukan Pekan Ijok akhirnya.

Majoriti penduduk Pekan Ijok adalah orang Cina dengan sebahagian kecilnya terdiri daripada orang India dan Melayu. Penduduk Cina menjalankan perniagaan barangan runcit, kain dan lain-lain lagi.

Tentera Jepun telah menakluki Tanah Melayu pada tahun 1941. Pada masa itu, satu rejimen askar British dari India telah bertempur dengan tentera Jepun di Batang Berjuntai. Ijok yang turut terjerumus tidak terkecuali daripada keadaan ketakutan dan kesengsaraan.

Setelah melalui kesengsaraan hidup sepanjang penaklukan tentera Jepun selama 3 tahun 8 bulan, Ijok telah memasuki zaman darurat pada tahun 1948.

Menjelang tahun 1951, penjajah British telah mengumpulkan pendatang Cina di Batu Arang, Bukit Permatang, serta penduduk sekitar Batu 7 Kuala Selangor dan menubuhkan Kampung Baru Ijok.

Kampung Baru Ijok mempunyai 1255 orang penduduk semasa ia ditubuhkan. Kebanyakan mereka merupakan orang Hokkien yang datang dari Wilayah Anxi, Yong Chun dan Hui An.

Pada awalnya, kebanyakan mereka bekerja sebagai penoreh getah. Menjelang tahun 1960-an, penanaman ubi keladi, ubi keledek, ubi kayu dan sebagainya mula diusahakan. Antaranya penanaman keladi amat terkenal di situ. 

Keladi di Ijok diberi nama sebagai Keladi Kelang disebabkan kampung Ijok tidak dikenali pada ketika itu.

Dalam sekelip mata, Keladi Kelang menjadi tanaman utama di Ijok dengan hampir kesemua penduduk menanamnya. Saiz tanaman Keladi Kelang oleh seseorang peladang kecil ialah antara 2 hingga 3 ekar. Jumlah keseluruhannya dijangka mencapai hampir ratusan ekar.

Namun begitu, kepesatan penanaman keladi di Ijok juga terjejas dalam sekelip mata akibat harganya yang rendah. Dengan harga 5 sen sekati, tanaman itu terpaksa digantikan dengan tanaman kelapa sawit menjelang tahun 1970-an.

Walaupun saiz Kampung Baru Ijok agak kecil, namun ianya lengkap dengan pelbagai prasarana seperti sekolah, dewan orang ramai, klinik, perpustakaan dan lain-lain lagi utiliti awam.

Mengikut sumber yang terdekat, Jumlah penduduk Ijok pada tahun 1970 ialah 1830 orang. Jumlah itu bertambah sedikit kepada 1876 menjelang tahun 1980. Angka itu kemudian melonjak menjadi 5012 pada tahun 1995. Kini dianggarkan mempunyai 7000 orang penduduk.
Walaupun kedudukan Ijok agar jauh dari bandar dan terpencil, namun kadar penghijrahan keluar penduduk tidak ketara. 

Salah satu faktor utama ialah kilang-kilang haram di Jalan Besar Kepong telah berpindah ke Ijok 10 tahun yang lalu. Tanah-tanah yang dahulunya bersyarat pertanian telah ditukar kepada syarat perindustrian. 

Projek pembangunan perumahan Berjuntai Bestari, Saujana Utama dan Saujana Ijok merupakan tiga projek perumahan mega yang telah diusahakan di Ijok.

Dengan adanya pelbagai projek pembangunan yang berteraskan pembangunan ekonomi, peluang-peluang pekerjaan telah berjaya diwujudkan dan mutu kehidupan penduduk berjaya ditingkatkan.

Jika dahulunya sistem pengangkutan jalan agak mundur di Ijok, kini ia telah dinaik taraf dan begitu sibuk sekali. Dari segi geografi, kedudukannya tepat berada di gerbang masuk Kuala Selangor, Sungai Buloh dan Shah Alam.

Sementara itu, pembinaan Lebuhraya Kuala Selangor yang akan siap pada tahun 2011 pasti akan memendekkan lagi jarak antara Ijok dengan tempat-tempat lain.

Panduan ke Ijok:
1.Dari Kuala Lumpur dengan jarak 55km.
2.Dari arah Kelang dengan jarak 40km.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...