Sunday 25 December 2011

Sejarah Kuala Kubu Baru............Lanun Rawang Territory (Kawasan Bersejarah - Part 2)


Kuala Kubu Baru dahulu dikenali sebagai Kuala Kubu dan terdapat sebatang sungai di tempat ini bernama Sungai Kubu, ia merupakan salah satu cabang Sungai Selangor. 
Sebuah kubu telah dibina di kuala sungai tersebut bagi mempertahan serangan musuh. “Kubu di atas sungai” , begitulah cerita Kuala Kubu mendapat nama.
Perang saudara Selangor tercetus pada tahun 1866 hingga 1874. Orang Besar Daerah Tuan Syed Masyor bergabung dengan Chong Chong telah mendirikan kubu bertujuan mempertahankan serangan pakatan Tengku Kudin dan Kapitan Yap Ah Loy.
Selepas tamat perang saudara, yang tinggal hanyalah kubu perang. Maka dengan itu mereka menamakan tempat itu sebagai Kuala Kubu .
Sebutannya dalam bahasa Mandarin lebih mirip kepada dialek Hakka kerana kebanyakan pendatang Cina yang menceburi sektor perlombongan berketurunan Hakka.
Kuala Kubu terletak diantara pertemuan Sungai Rening dan Sungai Kubu.
Kuala Kubu diibaratkan sebagai mutiara di Sungai Selangor menjelang akhir kurun ke-19. Daerah Ulu Selangor ditubuhkan secara rasmi pada tahun 1883. Penjajah British telah memilih Kuala Kubu sebagai pusat pentadbiran Daerah tersebut. Ia juga merupakan kawasan pengeluaran bijih timah yang penting di daerah Ulu Selangor.
Kekayaan hasil bijih timah telah menarik Yap Ah Loy, Loke Yew, Tan Kim Bee dan pengusaha-pengusaha bijih timah lain untuk membuka lombong bijih timah di situ. Terdapat juga sebahagian orang Kochow berhijrah ke Kuala Kubu untuk mengusahakan pembalakan dan penanaman getah.
Mengikut catakan sejarah, Yap Ah Loy memiliki 75 ekar tanah perlombongan di Kuala Kubu. Penjajah British telah membina landasan keretapi yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan Kuala Kubu pada tahun 1892 bagi memudahkan pengangkutan hasil bijih timah. Menjelang tahun 1898, laluan kereta lembu telah didirikan bagi menghubungkan Kuala Lipis dan Kuala Kubu.
Kuala Kubu telah meningkat menjadi pekan kedua besar di Selangor pada masa itu.
Namun, satu bencana alam pada tahun 1883 telah mengubah nasib Kuala Kubu. Hujan ribut yang menimpa Kuala Kubu pada ketika itu telah menenggelamkan seluruh Kuala Kubu. Selepas itu, pihak penjajah British terpaksa  menjalankan kerja pembinaan semula Kuala Kubu di atas tapak yang sama.
Peristiwa yang sama sekali lagi berlaku pada tahun 1926. Kali ini hujan ribut telah memecahkan empangan Kuala Kubu dan meragut ramai nyawa manusia.
Terdapat sebuah lagenda yang menarik di Kuala Kubu. Kononnya terdapat seekor buaya putih yang merupakan “penunggu” di dalam empangan Kuala Kubu. Penduduk tempatan menggelarnya  “binatang suci” pada masa itu.
Walau bagaimanapun, Pegawai Daerah Kuala Kubu iaitu Cecil Ranking tidak percaya dengan cerita tersebut. Beliau berdegil dan membunuh buaya tersebut walaupun mendapat nasihat orang ramai.
Mimpi ngeri telah bermula selepas buaya putih dibunuh. Pelandaan ribut petir disertai hujan lebat yang melimpah telah menyebabkan empangan pecah. Limpahan air dari empangan yang pecah telah menenggelamkan Kuala Kubu.
Pada hari kedua, sebanyak 33 mayat telah ditemui termasuklah mayat Cecil Ranking yang mati tergantung di atas sebatang pokok. Ada juga yang menyatakan bahawa mayat beliau telah hilang dan hanya sebatang tangannya yang berjaya ditemui.
Kubur beliau yang dibina pada awalnya  masih  memaparkan ayat “Here Lies the hand of Sir Cecil Ranking”. Ayat itu tidak dituliskan lagi selepas kubur beliau dipindahkan.
Hakikatnya, Kuala Kubu memang banyak didiami buaya.
Pusat pentadbiran kerajaan telah dipindah ke Rasa selepas banjir tersebut. Penduduk Kuala Kubu telah berpindah ke Kampung Kelapa, Paya Dalam dan Rasa dimana parasnya lebih tinggi.
Menjelang tahun 1931, sebuah tapak baru telah diterokai untuk mendirikan pusat pentadbiran baru yang bergelar Kuala Kubu Baru. Ia merupakan sebuah kawasan strategik yang menghubungkan Kuala Lumpur, Perak dan Pahang.
Bagi orang Cina tempatan, mereka menggelar Kuala Kubu yang lama sebagai “Kuala Kubu Lama”.
Orang Melayu tempatan pula menggelar tempat tersebut sebagai Ampang Pecah yang bermaksud empangan yang telah pecah. Pada tahun 1990, sebuah Taman perumahan telah dibangunkan di situ.
Menjelang Perang Dunia Kedua, Kuala Kubu Baru merupakan salah sebuah markas MPAJA yang amat aktif.  MPAJA pernah beberapa kali berjaya menyerang hendap tentera Jepun serta merosakkan landasan keretapi dengan kelebihan bentuk mukabuminya.
Setelah tamat perang, Kuala Kubu Baru merupakan salah satu tempat yang menjejak langkah Serendah menjadi markas PKM. Oleh itu, penjajah British telah mengisytiharkan perintah Darurat pada tahun 1948. Kampung Baru Kuala Kubu turut ditubuh bagi menempatkan semua penduduk yang bertaburan di sekeliling.
Pada 6hb Oktober 1951, Kuala Kubu Baru sekali digemparkan dengan pembunuhan Pesuruhjaya Tinggi British Sir Henry Gurney di kaki bukit berdekatan Bukit Fraser.
Kampung Baru Kuala Kubu Baru ditubuh dengan keluasan tanah sebanyak 51 ekar serta menempatkan beberapa ratus orang penduduk. Menjelang tahun 1995, ia mempunyai penduduk seramai 3758 orang. Kini ia dianggarkan mempunyai penduduk sebanyak 4000 orang dengan 90% daripadanya adalah orang Hakka.

Selepas kejatuhan sektor perlombongan bijih timah  pada tahun 1970-an, suasana Kuala Kubu Baru telah beralih dari kegemilangan kepada ketenangan. Penduduk tempatan terutamanya belia-belia telah berhijrah ke Kuala Lumpur dan Rawang untuk mencari nafkah hidup.
Pada tahun 1990, namanya telah ditukar kepada  Kampung Assam Kumbang. Namun begitu sebutan tersebut tidaklah begitu sedap didengar berbanding dengan sebutan nama lama. Lagipun nama itu kurang istimewa kerana ia juga didapati di Johor dan Perak.
Assam Kumbang sebenarnya ialah nama sejenis pokok. Ia disebut sebagai Roselle dalam bahasa Inggeris. Pokok ini dengan usia tinggi masih boleh didapati di Kuala Kubu Baru.
Panduan ke Kuala Kubu Baru :
1.Dari arah Kuala Lumpur dengan jarak 62km.
2.Dari arah Rawang dengan jarak 20km.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...