Sunday 25 December 2011

Sejarah Kundang............Lanun Rawang Territory (Kawasan Bersejarah - Part 7)


Nama Kundang berasal dari Sungai Kundang.

Kundang merupakan sejenis pokok. Ia bergelar Gandaria dalam bahasa Inggeris dan juga digelar sebagai Plum Mango.

Kundang ialah tumbuhan jenis Bouea Macrophylla Griff iaitu salah satu jenis pokok mangga. Ia berasal dari Malaysia dan Indonesia. Buahnya mempunyai nilai ekonomi di Thailand dan Myanmar.

Buah kundang pernah menjadi tema dalam stem Malaysia. Bentuknya seperti mangga dengan saiz yang lebih kecil dari mangga. Rasanya agak masam.

Tempat ini dinamakan Kundang disebabkan kaitannya dengan pokok kundang. Namun begitu, pokok kundang tidak lagi kelihatan di Kundang setelah ratusan tahun berlalu. Ramai di kalangan orang Kundang tidak tahu rupa sebenar pokok kundang.

Pembukaan Kundang tidak dapat dipisahkan dengan bijih timah.

Menjelang akhir kurun ke-19, hasil bijih timah telah ditemui di Sungai Kundang. Ini telah menarik ramai pendatang Cina ke situ yang akhirnya telah membentuk kawasan penempatan Kundang.

Kanching yang berada dalam daerah Rawang telah memulakan operasi perlombongan bijih timah pada tahun 1840-an merupakan salah satu kawasan perlombongan bijih timah yang terawal di Selangor.

Selepas itu, kawasan di sekitar Rawang seperti Kundang dan Kuang telah mula menjalankan aktiviti perlombongan bijih timah. Dengan itu, kawasan penempatan baru turut terbentuk.

Ada yang menyatakan bahawa dimana bijih timah ditemui, di situlah wujudnya orang Hakka. Persatuan Ka Yin dan Kochow di Kundang membuktikan kedua-dua puak tersebut merupakan pendatang Cina yang paling awal bertapak di situ.

Selain puak Ka Yin yang merupakan penduduk majority di Kundang, sebahagian besar yang lain terdiri dari puak Hui Zhou, dengan sebilangan kecil lagi merupakan puak He Po.

Demi untuk memajukan industri perlombongan bijih timah, penjajah British telah memajukan sistem pengangkutan keretapi. Pada tahun 1915, landasan keretapi yang menghubungkan Kundang dengan Kuang dan Batu Arang telah dibina. Ini turut melahirkan sebuah stesyen keretapi di Kundang.

Selepas kejatuhan industri perlombongan, operasi keretapi turut dihentikan. Stesyen keretapi Kundang telah dirobohkan pada tahun 1970. Landasan keretapi yang ditinggalkan telah menjadi bukti kepada sejarah tersebut.

Syarikat Kundang Tin merupakan syarikat perlombongan pemilikan British yang terbesar di Kundang pada awal kurun ke-20.

Menjelang tahun 1924, syarikat Kuala Lumpur Rubber turut mengusahakan operasi perlombongan bijih timah di Kundang. Nama syarikat itu kemudian ditukar kepada Kuala Lumpur Kepong Bhd.

Sementara itu, taikon bijih timah kaum Cina juga terlibat dalam sektor perlombongan. Lee Li Sheng dan Lee Jiu Ru berketurunan Ka Yin yang merupakan pengusaha lombong bijih timah di Kundang. Mereka telah menubuhkan Sekolah Gen Yen pada tahun 1934 untuk menghargai sumbangan pekerja lombong keturunan Hakka di Kundang.

Sekitar tahun 1920, penjajah British telah menggalakkan penanaman getah secara meluas. Penduduk Kundang telah diagihkan tanah untuk menanam pokok getah. Kundang Estate merupakan estet getah pemilikan British paling besar di Kundang pada masa itu.

Sepanjang penjajahan tentera Jepun pada tahun 1942 hingga 1945, Kundang telah dilumpuhkan oleh api peperangan. Ia turut menjadi markas kuat MPAJA.

Keadaan huru-hara sekali lagi berlaku pada tahun 1948. Untuk mematahkan bantuan kepada PKM, penjajah British telah mengumpulkan penduduk yang tinggal berselerak di luar kawasan Kundang dan menubuhkan Kampung Baru Kundang.

Pekan Lama Kundang merupakan sebahagian daripada Kampung Baru Kundang. Satu baris kedai lama yang masih wujud hari ini memudahkan kita untuk membezakannya.

Mengikut cerita, masih terdapat sebuah perigi ratusan tahun di Pekan Lama Kundang. Disebabkan oleh tekanan air yang rendah, catuan air sering berlaku di Kundang. Oleh yang demikian, ramai di kalangan penduduk Kundang yang masih mengekalkan perigi air sehingga hari ini.

Kampung Baru Kundang mempunyai 200 keluarga dengan anggaran 1500 orang penduduk semasa ia ditubuhkan. Sepanjang 30 tahun selepas ia ditubuhkan, perubahan jumlah penduduknya adalah kecil sekali. Jumlahnya pada tahun 1954 ialah 1525 manakala 1565 pada tahun 1970.
Keadaan itu menunjukkan berlakunya penghijrahan keluar penduduk. Namun begitu, keadaan telah bertambah baik dengan kenaikan jumlah penduduk kepada 5800 pada tahun 1995. Kini ia dijangkakan mempunyai 7000 orang penduduk.

Memasuki tahun 1980-an, kejatuhan industri bijih timah dan getah menjadikan Kundang sunyi semula.

Untuk mencari mata pencarian baru, penduduk-penduduk telah memulakan penanaman pokok betik di atas tanah berkeluasan beratus ekar di sempadan Kampung Baru Kundang.

Dalam sekelip mata, tanah berkeluasan ratusan ekar telah berubah menjadi ladang betik. Pada masa itu, Kampung Baru Kundang merupakan Kampung Betik di Selangor.

Keadaan itu tidak kekal lama. Antara sebabnya ialah jenis betik yang ditanam di situ merupakan baka biasa. Ini sekaligus menyebabkan harga pemasarannya amat rendah. Tambahan lagi dengan penekanan harga oleh orang tengah menyebabkan buah betik hanya boleh dijual pada harga 8 sen sekati pada masa itu.

Satu lagi masalah yang memeningkan ialah penyakit pokok yang tidak terkawal. Oleh itu, penduduk telah mula melepaskan sektor penanaman betik secara beransur-ansur menjelang tahun 1990-an. Kini sejarah kegemilangan penanaman pokok betik Kampung Baru Kundang hanya tinggal kenangan.

Tepat pada masa itu, ekonomi negara mula membangun dengan pesat. Rawang telah mendapat manfaat melalui faktor kedudukannya yang dekat dengan Kuala Lumpur. Kundang turut mendapat peluang pembangunan secara langsung.

Kawasan yang merupakan tapak lombong bijih timah pada masa dahulu telah ditebus guna. Alamat asal Kundang Tin telah dibangunkan menjadi Taman Hiburan Air Tasik Biru.

Pusat Memancing Kundang dan Kelab Golf Kundang merupakan dua lagi keajaiban daripada rancangan tebus guna lombong terbiar.

Khususnya Tasik Biru merupakan syurga kepada pemancing ikan. Tasik itu berkeluasan 80 ekar amat kaya dengan ikan toman. Dikatakan ada pemancing mampu memancing belasan ekor toman dalam masa sehari.

Ikan toman boleh membesar sehingga 1.5 meter dengan berat 30 kilogram. Oleh yang demikian, ikan tersebut turut digelar sebagai harimau air tawar.

Namun begitu, difahamkan orang Kundang lebih gemar memakan ikan haruan daripada ikan toman.

Taman Kundang Jaya dan Bandar Baru Kundang yang betul-betul berada hadapan pintu masuk Kundang telah membawa nafas baru kepada pembangunan Kundang.

Penduduk Kundang juga amat menanti-nantikan persiapan Kuala Selangor Expressway pada tahun 2011.

Mungkin ia merupakan satu peluang keemasan yang berulang setiap 100 tahun. Pada tahun 1910, laluan landasan keretapi telah membantu Kundang mengecapi satu tempoh kegemilangan. Diharapkan laluan lebuhraya kali ini akan membawa manfaat yang lebih besar kepada pembangunan Kundang.

Kegiatan mencuri pasir di Kundang amat berleluasa hingga menimbulkan perasaan yang amat tidak puas hati di kalangan penduduk. Orang Kampung telah membuat bantahan berikutan kegiatan mencuri pasir akibat kegagalan pemantauan pihak berkuasa.

Panduan ke Kundang:
1.Dari arah Kuala Lumpur dengan jarak 40 km.
2.Dari arah Rawang dengan jarak 14km.

3 comments:

  1. Ohh.. saya baru tahu, even dah lama duduk kundang pun, saya x thu pun sejarahnya. Tapi kan admin, saya nak tanyalah. kot2 admin tahulah kan, mcm mne kg permata, seri kundang boleh dapat nama? sempena apa? terima kasih

    ReplyDelete
  2. Saya tinggal 40 tahun baru tahu sejarah kundang

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...